Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali
kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut
berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan
untuk bertaubat kepada Allah s. w. t.
Dia berkata, “Sepanjang aku menggali
kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa
mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang
sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”
” YANG PERTAMA, aku lihat mayat yang pada siang harinya
menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam,
aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu,
wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.
” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah
mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t.
menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi
membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah
tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan YANG KEDUA, aku lihat
wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala
malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mayat mereka
telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”
Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka
itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya.
Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna
solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”
Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan
YANG KETIGA yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa
sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya
terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”
” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang
haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.
” Golongan YANG KEEMPAT, ku lihat mayat yang jasadnya
bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai
tuan guru?”
Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan
manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya
Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu
bapanya.”
” Golongan YANG KELIMA pula Ku lihat ada pula mayat yang
kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala
isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.
” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan
silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak
bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah
bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah
termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.
” Wahai guru, golongan YANG KEENAM yang aku lihat, sewaktu
siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula
kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam
yang amat busuk baunya,”
” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba
sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.
” Wahai guru, golongan YANG TERAKHIR yang aku lihat,
mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian
halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.
Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah
golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu
hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi
Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang
dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas
setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua’lam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan