Selasa, 25 Januari 2011
Yuna jual minyak wangi....
Pelantun lagu Cinta Sempurna, Yunalis Zarai atau Yuna melebarkan langkah setapak dalam bidang perniagaan. Penyanyi terkenal dengan imej bertudung itu terlebih dahulu memiliki butik pakaian, Iamjetfuel di Subang Jaya. Kini, bakal tampil dengan rangkaian minyak wanginya sendiri.
Ketika dihubungi semalam, ternyata Yuna teruja bercerita mengenai produk minyak wanginya yang akan dilancarkan pertengahan tahun ini.
Yuna berkata, sebelum ini dia hanya menyimpan hasrat untuk memiliki minyak wangi jenama sendiri. Namun, tanpa disangka hasratnya itu dapat direalisasikan.
“Saya sangat menyukai wangian dan gemar membeli minyak wangi untuk dijadikan koleksi. Pernah terdetik di hati saya alangkah seronoknya kalau ada jenama minyak wangi sendiri.
“Suatu hari saya suarakan hasrat itu pada pengurus dan kami mula mendekati jenama terkenal untuk mengetengahkan idea terbabit. Mereka menyukainya dan sejak itu kami mula bekerjasama,” kata Yuna yang lebih selesa menggunakan nama sendiri sebagai penjenamaan.
Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, pemenang Anugerah PopStar di Shout Award terbabit teliti dengan penghasilan produk wangiannya itu.
“Saya terlibat secara langsung seperti memilih sendiri jenis bauan dan terdapat dua versi wangian pilihan saya, 'fruity candy coconut-y' dan 'cool floral aqua-ish'.
“Selain itu, saya memberi idea untuk ‘packaging’. Setakat ini, Yuna Decorate adalah nama dipilih untuk minyak wangi saya kerana saya akan mengaitkannya dengan album terbaru saya,” katanya.
Walaupun mungkin berdepan dengan saingan termasuk minyak wangi artis antarabangsa, Yuna optimis minyak wanginya akan diterima ramai.
“Saya tidak mahu terlalu memikirkan sama ada minyak wangi saya mendapat sambutan atau sebaliknya. Ini kerana, lebih penting saya menghasilkan minyak wangi berkonsep menarik dan mampu dimiliki.
“Minyak wangi ini terlalu personal untuk saya dan menganggap kemunculan jenama wangian sendiri adalah cara peminat mendekati saya,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan