Khamis, 30 Ogos 2012

Norish Dakwa Gambarnya Disebarkan Setelah Enggan Penuhi Ugutan

PETALING JAYA – Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat. Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan.

 “Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini. “Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu. Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu. Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu. 

“Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah. “Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya. Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut.

 “Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya yang dipetik dari Mstar.com.my. Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul. 

Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi. Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8 SEMENTARA itu dalam Berita Harian, beliau percaya gambar itu disebarkan oleh pihak yang gagal mendapat wang ugutan daripadanya.

 “Awalnya, selepas kelahiran Haq, saya memang terfikir bagaimana mahu memperkenalkan Haq kepada khalayak. ” Cara terbaik adalah dengan mengadakan sambutan ulang tahun pertamanya. Tetapi ada pihak yang terlebih dulu mendahului saya apabila menyebarkan gambar kami, kerana gagal mendapat wang ugutan,” katanya. 

Norish juga tidak berhasrat menyaman individu yang menyebarkan gambarnya di sebuah hospital berserta anak yang ketika itu baru saja dilahirkan di internet. Kata pelakon ini, dia enggan berbuat demikian kerana berasakan tindakan itu tidak membawa sebarang faedah.

 “Tiada gunanya menyaman orang yang menyebar gambar saya itu kerana mereka bukannya ada duit. Lainlah jika mereka mempunyai banyak duit, sekurang-kurangnya berbaloi juga saya bersusah payah naik-turun mahkamah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan