Kerja keras, tidak sombong, nasib kunci jadi jutawan
Kerja keras, tidak sombong, nasib kunci jadi jutawan
SEBUT soal wang, siapa saja tidak tertunggu-tunggu jika diberi peluang menjadi lebih kaya. Mengapa tidak, kemakmuran dan kejayaan hidup selalu dikaitkan dengan kesenangan dan keselesaan yang diukur dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM).
Faktor kesenangan dan keselesaan hidup inilah yang menjadi matlamat kebanyakan individu dalam meniti hari dan merancang kehidupan. Namun, usah bermimpi di siang hari atau memasang angan-angan kosong. Kekayaan bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh. Jika disingkap cerita individu yang diiktiraf sebagai manusia paling kaya di dunia, sebahagian besar daripada tokoh ini menempuhi perjalanan hidup yang sukar.
Sepanjang survival hidup itulah mereka merasai 'jatuh dan bangun' serta menempuh pelbagai dugaan dalam mencapai kejayaan.
Dalam berangan-angan menjadi kaya, mungkin ramai antara kita tercari-cari modul yang boleh dicontohi bagi meraih gelaran jutawan. Jika ada panduan atau rujukan, sekurang-kurangnya strategi boleh direncanakan bagi merealisasikan impian. Kisah kejayaan beberapa hartawan tempatan yang tersenarai sebagai antara 40 individu terkaya di Malaysia mungkin boleh anda jadikan inspirasi. Sikap yang diamalkan termasuk perkara yang mendorong mereka yang kebanyakannya lelaki layak dijadikan resepi mencipta kejayaan sama.
Antara yang dapat dikongsi ialah kisah di sebalik kejayaan hartawan yang menduduki tempat pertama, Tan Sri Robert Kuok atau 'Raja Gula' membina empayar.
Kuok disifatkan usahawan yang mempunyai falsafah perniagaan dan apa yang nyata, beliau sentiasa mahu belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Dalam temuramah bersama majalah antarabangsa baru-baru ini, Kuok mendedahkan satu-satunya cara untuk berjaya dalam perniagaan adalah dengan tidak bersikap sombong dan bersedia berkongsi dengan individu yang lebih bijak. Tidak hairanlah, Kuok mengekalkan status tertinggi dalam senarai jutawan tempatan sejak tahun 2006 (senarai individu paling kaya di Malaysia oleh Forbes Asia). Hartawan ini mencatat nilai kekayaan AS$9 bilion (RM31.5 juta).
Manakala usahawan terkemuka yang terkenal dengan sikap dermawannya, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menduduki tangga kelapan tahun ini. Menurut Forbes, nilai kekayaan Syed Mokhtar berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion).
Syed Mokhtar dilaporkan seorang yang sentiasa berusaha keras memperbaiki taraf hidupnya sejak dulu. Bermula dengan membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar tahun 1960-an, beliau beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Kemudian beliau berniaga beras secara kecil-kecilan.
Kini empayar perniagaan yang dibangunkannya merangkumi pelbagai bidang seperti pengangkutan dan logistik, operasi pelabuhan, perladangan dan hartanah.
Kejayaan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 ini membuktikan apa saja yang dicita-citakan mampu dicapai andai kita gigih bekerja, tawakal dan berdoa kepada Allah. Selain itu, kita harus memanfaatkan apa saja keistimewaan dan kebijaksanaan kurniaanNya serta tidak bergantung kepada nasib dan takdir semata-mata.
Sering mencari dan menyahut cabaran dalam kerjaya adalah antara 'rahsia kejayaan' seorang lagi tokoh korporat iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim. Beliau yang menduduki tangga ke 11 dalam senarai kali ini pernah dilaporkanberkata, cabaran mendorong seseorang berusaha lebih kuat.
Azman adalah individu yang optimistik, sentiasa berfikiran terbuka dan mencuba mendapatkan apa yang beliau idamkan.
Bagi yang ingin mengikut jejak langkah tokoh korporatdan hartawan membina empayar, sikap dan semangat mereka dalam membangunkan perniagaan serta membina kekayaan wajar menjadi panduan. Selamat berusaha!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan